Thursday, 19 January 2012

UMNO Jadi Pakar Rujuk, Dikagumi Parti Politik Asing

  KUALA LUMPUR, 19 Jan – UMNO terus menjadi perhatian parti-parti politik asing sebagai tempat rujukan berdasarkan kemantapan struktur organisasinya selain kecekapan pengurusannya sebagai sebuah parti terbesar yang dianggotai oleh orang Melayu dan Islam dalam kelestarian Malaysia yang memiliki pelbagai kaum dan pelbagai agama.

Ini terbukti dengan kunjungan hormat yang dilakukan oleh Pengerusi Parti Al-Wasit, Mesir, Eng. Abou Elala Mady kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn, hari ini.

“Nama UMNO cukup dikenali kerana berjaya membawa Malaysia keluar dari belenggu kemiskinan dan kemudian dapat memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang bangsa di negara ini,” katanya.

Jelasnya, keyakinan terhadap UMNO diperkukuh dengan kelangsungan parti tersebut yang terus menjadi tunjang pentadbiran bersama Barisan Nasional (BN) sejak merdeka lebih 54 tahun lalu.

“Resepi kejayaan itulah yang mahu dipelajari dari UMNO iaitu dapat menangani krisis tanpa berlaku sebarang pertumpahan darah,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapan balasnya Tengku Adnan memaklumkan berkaitan perkembangan semasa parti dan peranan UMNO sebagai sebuah parti Islam terbesar dalam negara selain menjadi tunjang kepada Barisan Nasional (BN) dan kerajaan Malaysia.

“Masyarakat di seluruh dunia perlu bangkit, bekerjasama dan membina kekuatan berlandaskan kepada perpaduan bagi memastikan keamanan sejagat dapat dikecapi tanpa melihat kepada perbezaan dari segi etnik atau suku kaum masing-masing.”

Katanya, agama Islam adalah teras yang menjadi pegangan dalam masyarakat Melayu di negara ini dan ia akan tetap dipelihara berlandaskan kepada akidah Islam yang sebenar.

“Sebagai sebuah parti Islam, UMNO sentiasa bersikap terbuka dan menghulurkan tali persaudaraan dengan semua bangsa apatah lagi yang beragama Islam. Kita tidak mahu Islam dijadikan sebagai alat atau mainan politik sebaliknya ia adalah agama yang perlu sentiasa dipelihara,” ujarnya.

Dalam kesempatan tersebut Tengku Adnan turut memberi penerangan berkaitan latar belakang UMNO yang ditubuhkan lebih 64 tahun lalu selain perkembangan semasa termasuklah manipulasi provokasi oleh pihak pembangkang.

Dalam pertemuan ini, Eng. Abou Elala Mady turut melahirkan hasrat untuk menghantar kader-kadernya bagi menimba ilmu serta mempelajari bagaimana pentadbiran UMNO sebagai sebuah parti politik yang konsisten berlandaskan misi dan visi yang jelas sebagaimana dalam Perlembagaan parti. - MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment