There was an error in this gadget

Thursday, 1 December 2011

Perhimpunan Agung Umno: Apa Kata Tun Mahathir

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri dan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan ucapan dasar Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai ucapan yang amat baik kerana ia memperjelaskan bahawa Umno bukan parti rasis.

Dr Mahathir berkata, ucapan presiden Umno itu telah menyedarkan rakyat bahawa Umno bukan sahaja memperjuangkan semangat orang Melayu tetapi juga perjuangan untuk menjamin kelangsungan bangsa-bangsa lain di negara ini.

"Ia ucapan yang amat baik. Beliau (Najib) memperingati ahli-ahli Umno berkenaan sejarah Umno.

"Bagi orang yang tuduh Umno rasis, beliau menegaskan Umno bukan sebuah parti rasis...Ia (Umno) bukan sahaja membantu orang Melayu, tetapi ia juga membantu orang lain (bangsa lain) juga," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas ucapan dasar Najib pada Perhimpunan Agung Umno 2011 di sini, Khamis.

Terdahulu, Najib dalam ucapannya berkata apa yang yang dicapai hari ini bukan dibina dalam tempoh singkat tetapi menerusi perjuangan, pengorbanan dan kerja keras oleh pemimpin-pemimpin semua bangsa termasuk Iban, Kadazan, Orang Asli dan Siam bagi memastikan generasi muda mempunyai masa depan cerah.

Ditanya sama ada beliau berpendapat pilihan raya umum semakin dekat, Dr Mahathir berkata, beliau tidak tahu dan itu terserah pada Najib.

"Saya tidak tahu, saya fikir Umno sudah agak bersedia. Tetapi saya tidak tahu sama ada beliau akan mengadakan pilihan raya atau tidak, itu di luar pengetahuan saya. Beliau tidak pernah beritahu saya. Terserah kepada PM (perdana menteri)," katanya.

Najib, sejak kebelakangan ini telah membayangkan bahawa pilihan raya umum ke-13 mungkin diadakan tidak lama lagi dan menggesa anggota Umno meningkatkan kesiapsiagaan untuk menghadapi pilihan raya umum. -BERNAMA

Dicedok dari MSTAR

0 comments:

Post a Comment