Friday 6 January 2012

Islam Tercemar Kerana Diperalatkan Untuk Politik Duniawi - Tun Mahathir

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata agama Islam di negara ini sudah banyak tercemar dan pegangan kepada ajarannya telah menjadi luntur kerana Islam diperalat untuk kepentingan politik duniawi.

Beliau berkata agama yang satu dan mazhab yang sama tidak terdaya menangkis serangan ahli politik yang mencipta syarat-syarat baru bagi agama Islam demi politik duniawi yang dikejar mereka.

"Oleh kerana syarat dan tafsiran-tafsiran ini tidak terdapat dalam Al-Quran atau hadis-hadis sahih atau mana-mana kitab tulisan ulama-ulama silam yang muktabar, maka majoriti orang Melayu Islam menolak syarat-syarat ciptaan mereka yang berkepentingan ini.

"Dengan itu berpecahlah orang Melayu Islam kepada dua kumpulan yang saling bermusuh antara satu sama lain," katanya dalam entri terkini blog beliau www.chedet.cc, yang bertajuk 'Melayu Islam'.

Menurut Dr Mahathir, orang Melayu Islam di Malaysia sekarang sudah berpecah dan bermusuhan dengan teruknya sesama mereka.

Dr Mahathir berkata, hasil dariapada perpecahan itu, berlakulah sembahyang dua imam, larangan perkahwinan antara anggota dan penyokong parti yang tidak menerima syarat-syarat ciptaan pemimpin parti selain perkuburan berasingan antara yang tidak terima dengan yang terima.

"Yang lebih buruk lagi ialah ketaksuban pengikut kepada pemimpin ini sudah sampai kepada tahap menghalalkan apa sahaja yang dilakukan atau diperkatakan oleh pemimpin.

"Apabila pengikut yang taksub dengan pemimpin mendakwa bahawa pemimpin mereka adalah sama dengan nabi, tidak ada pembetulan atau bantahan daripada pemimpin berkenaan dan penyokong-penyokongnya," katanya.

Dr Mahathir menarik perhatian bahawa orang Melayu yang bahagia kerana bangsa mereka dikait secara langsung dengan agama Islam, sudah hilang nikmat yang datang daripada ikatan itu.

"Hasilnya ialah perpecahan, kelemahan dan kehinaan. Hasilnya ialah mereka menjadi pengemis di negara sendiri, pengemis yang meminta-minta sokongan daripada orang lain. Mereka yang mengemis tetap akan menjadi orang suruhan kepada yang membantu mereka," kata Dr Mahathir.

Beliau menegaskan sepatutnya orang Melayu tidak bermasalah berkenaan agama mereka kerana semua orang Melayu beragama Islam dan daripada kumpulan Sunni atau Ahli Sunnah Wal Jamaah, berimam dengan Imam Shafie. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment